Sumber 1 : Berita Harian 2012/06/11
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM14 juta untuk kerja baik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini yang dijangka dimulakan selepas tender pembaikan dikeluarkan, Ogos depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kerajaan negeri sudah menyerahkan stadium itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan kerja baik pulih, tetapi kerja itu mengambil masa kerana banyak pemeriksaan yang perlu dilakukan.
Sumber 2 : Harian Metro 2012/02/02
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri sudah mengeluarkan tender untuk kerja baik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini, membabitkan tiga peringkat bagi membolehkan ia digunakan semula pada 2014.Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, tiga peringkat berkenaan membabitkan kerja meruntuhkan bumbung di bahagian sebelah barat stadium,membaiki struktur kesan kerosakan akibat runtuhan bumbung di sebelah timur selain padang. “Tender untuk kerja membaiki stadium sudah dikeluarkan November tahun lalu oleh Jabatan Kerja Raya dan kami menjangkakan stadium itu boleh digunakan sepenuhnya selewatnya pada 2014,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, semalam.Ahmad berkata, kerajaan negeri masih menunggu laporan daripada Jabatan Kerja Raya mengenai reka bentuk baru bumbung SSMA yang akan dibina sebaik diluluskan.
Katanya, selepas kerja membuka bumbung di sebelah barat dijalankan, kerja membaiki padang akan dilakukan bagi membolehkan pasukan bola sepak Terengganu dan T-Team menjalani latihan di situ.Dalam perkembangan lain, mengulas isu kecurian antaranya membabitkan kabel dan mesin di SSMZA, Ahmad berkata, jumlah kerugian berkenaan tidak mencecah angka RM50 juta seperti dilaporkan sebelum ini.“Kerugian saya rasa lebih rendah daripada yang dilaporkan,” katanya.
Sumber 3 : Utusan Malaysia
Kerja-kerja membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang bumbungnya runtuh tiga tahun lalu bakal dimulakan selepas Aidilfitri ini.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd. Adib berkata, anggaran awal sebanyak RM120 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja membaik pulih melibatkan keseluruhan struktur stadium itu.
Katanya, ia meliputi kerja-kerja membaik pulih lantai, tiang, tempat duduk penonton, struktur kalis air, pendawaian elektrik sementara serta kerja-kerja berkaitan mekanikal.“Kajian keseluruhan bagi pembaikan stadium itu telah siap dan kita akan mulakan kerja-kerja baik pulih selepas Hari Raya Aidilfitri, namun kita tidak tidak tahu peruntukan sebenar setakat ini kerana ia akan dinilai selepas tender dibuat dan fasa pertama siap.
“Bagaimanapun, sebanyak RM14 juta diperuntukkan untuk peringkat awal ini dan ia juga melibatkan proses reka bentuk struktur bumbung baru yang dibina agar tidak membebankan struktur asal,” katanya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar (Pas-Ladang) berkenaan status terkini kes stadium itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Pada 2 Jun 2009, selepas kira-kira setahun digunakan bagi Sukan Malaysia (Sukma) 2008, stadium itu mengalami kerosakan apabila bumbungnya di lokasi menempatkan pintu A, B, dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh.
Dalam pada itu, Za’abar turut memaklumkan sebahagian tender untuk projek membaik pulih itu dibuat secara lantikan terbuka manakala sebahagian lagi melalui kerajaan negeri.“Kita buat begitu supaya kerja-kerja tertentu dilakukan kontraktor yang khusus dalam bidang itu manakala kerja-kerja sampingan lain kita akan buka kepada umum,” katanya
<


